Selasa, 28 Mei 2013

Ayam Sabung : Tok Pa

Tok Pa bertitih barih dari baka Pradu Hang Dum. Tapi mengikut riwayat silsilahnya, Tok Pa juga ada darah Saigon. Ayam ini berasal dari Chiang Mai, Thailand. Mengikut riwayat, Tok Pa pernah menang 5 kali dalam perlawanan besar di beberapa bon terkenal di utara Thailand. Kononnya ada sijil pengesahan, tapi Tok Ayah pun sepatah haram tak faham dia orang tulis dalam Thai.

Tapi Tok Pa memang memikat hati Tok Ayah. Dia tinggi dengan kaki yang kuat dan panjang. Leher juga tegap dan jinjang. Tubuh kemah dan mendada. Tulang kasa dan kelihatan kukuh. Ekor agak lebat dan panjang. Bulu pula berwarna hitam coklat gelap (walnut) kemerah-merahan (payah nak diungkapkan la) yang menjadi based color Pradu Hang Dum agak menyerlah. Elemen hijau api pun ada. Ada juga sedikit bulu rambai warna kuning emas di bahagian belakang. Bulunya gelap berkilat. Kata sesetengah otai, penampilan warna bulunya adalah selari dengan warna asal baka Pradu Hang Dum. Ianya dikatakan lebih lengkap berbanding warna sitam atau hijau api sebahagian baka Pradu Hang Dum yang popular di Thailand sekarang ini.

Tok Pa memang sihat dan ceria. Dia juga ada pasangan yang tidak kurang hebatnya. Cuma Tok Pa adakalanya kelihatan seperti sakit pada lutut dan kepala bahu. Ayam yang asalnya disabungkan memang ada kesan pada tubuh badan mereka. barangkali sewaktu Tok Pa sering diturunkan ke bon dia diberi steriod secara sembrono yang menyebabkan tubuhnya menerima impak setelah diselamatkan dari bon. Tidak mustahil juga mungkin hentaman dari lawan-lawannya meninggalkan kesan pada tubuhnya. Namun begitu, alhamdulillah, Tok Pa masih mampu melayani fitrah berpasangan dan telah menghasilkan zuriat dengan baik. Tok Ayah terpaksa memberinya makan ubat sakit lutut atau turun urat jika sekali sekala Tok Pa kelihatan sakit. Adakala Tok Ayah sapu minyak panas dan balut kakinya.

Besar benar harapan Tok Ayah agar jaguh hebat Chiang Mai ini akan menghasilkan zuriat ayam-ayam cantik yang berkualiti tinggi dari keturunan Pradu Hang Dum yang mashyur itu. Insya Allah.
(umur 17 bulan, berat 3.9 kg)


 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 

Perjalanan baru bermula


Suatu masa dahulu, Tok Ayah kemaruk dengan ayam sabung yang bertubuh sederhana sasa dan rendang, bulu pelbagai warna dengan ekor yang lebat dan panjang. Soal baka tak kisah sangat. Tetapi kebanyakan ayam Tok Ayah masa itu ialah datangnya dari Surat Thani, Thailand. Orang kata ayam surat. Berat ayam pun memang tak lebih 2.8 kg sahaja. Ayam memang nampak cantik dan bergaya. Tubuh panjang dan rendang dengan ekor panjang lebat mencecah tanah. Itulah citarasa Tok Ayah masa itu.

Masa berlalu, nampaknya citarasa pun mula berubah. Kini ayam yang bertubuh sasa, tulang kasa, tinggi, mendada, bulu yang cantik dan dengan ekor panjang menarik menjadi idaman hati. Baka Thai dan Pama menjadi keutamaan untuk pembiakan pusingan baru ini. Untuk baka Thai, Tok Ayah utamakan yang didominasikan oleh darah baka Leung Hang Khau dan Pradu Hang Dum. Untuk dapatkan zuriat bagi mengisi koleksi reban yang berkualiti, mahu tak mahu pembaka hendaklah datang dari baka yang juga berkualiti. Biasanya pembaka dipilih dari para jaguh yang telah terbukti juara di bon. Jaguh seperti ini lazimnya bukan sahaja berkualiti dari sudut ketrampilan dan kegagahannya, malah ianya akan memiliki darah yang kuat yang akan menghasilkan zuriat yang mewarisi ketrampilan yang sama.

Untuk memastikan pembaka adalah benar-benar berkualiti dan menepati citarasa, tentunya bukanlah kerja yang mudah. Kemahiran, kesabaran dan wang ringgit adalah modal yang penting. Tidak segan bertanya kepada otai-otai ayam sabung perihal kualiti ayam yang hendak kita pilih, sabar mencari dan menanti peluang dan yang mustahak juga Tok Ayah rasa ialah kesediaan melabur modal wang ringgit, adalah agenda penting yang perlu dilalui. Kata orang ayam yang baik tak semestinya yang mahal. Tapi dalam dunia kapitalis ni, yang baik selalunya mahal. Modal tentunya ikut kemampuan dan keperluan sendiri.

Kalau boleh Tok Ayah memang nak sambar baka ayam cantik Thai yang dah ada rekod menang pertandingan ayam sabung cantik. Tapi harga tak berapa boleh tahan. Poket kempis. Lagi pun Tok Ayah bukan semata-mata hendakkan bulu yang cantik, malah sosok tubuh juga amat diutamakan. Darah yang kuat juga penting untuk jadi pembaka. Jadi Tok Ayah cuba kombinasikan antara tubuh yang sasa dan cantik serta warna atau romo bulu dari baka-baka yang disasarkan. Justeru itu sasaran pembaka yang Tok Ayah cari ialah para jaguh di bon laga dari baka yang menjadi pilihan. Mudah-mudah planning ini akan berjaya mencapai sasaran. Insya Allah.

Ayam Sabung : Indah dan Uniknya Ciptaan Mu ya Allah.


Berada dalam linkungan ayam sabung adalah di antara suasana yang akan menyuburkan kepuasan dan kerehatan dalam diri Tok Ayah. Tekanan atau stress kadang-kadang boleh menjadi reda dan hilang dengan hanya melihat gelagat jaguh-jaguh yang diminati. Membelai ayam sabung yang jinak ini membuat kita lega dan puas. Melihat kelincahan mereka dilatih membuat kita kagum dan bangga. Sibuk  memandikan, memberi makan dan minum, meneliti kesihatan mereka, dan mengawasi pembiakan mereka seringkali menyebabkan Tok Ayah terasa muda (padahal dah tua) dan sentiasa energetik untuk berekreasi serta memiliki impian besar untuk hari-hari yang mendatang. Sukar untuk digambarkan betapa semaraknya kemeriahan hati apabila melihat anak-anak ayam baka terbaik yang kita nanti-nantikan diizinkan Allah menjadi kenyataan.

Namun apa yang perlu kita semua benar-benar insafi ialah, jangan kita hanya terfana dengan makhluk yang dicipta. Hendaknya keindahan dan keajaiban makhluk itu membawa kita menyedari dan menghayati akan kebesaran Pencipta makhluk itu sendiri. Segala yang indah dan memikat hati di alam ini adalah ciptaan Allah. Tentu semua kita menyedari, mengimani dan mengakui hakikat itu. Semakin kagum dan asyik dengan keindahan ciptaanNya, seharusnya semakin hampir hati dan hidup kita ini untuk tunduk khusyuk merasai kebesaran Allah, dan seterusnya mempasrahkan diri menjadi hamba yang patuh berbakti.

 

Jumaat, 10 Mei 2013

Ayam Sabung : Abe Jalok Kelantani







Abe jalok asal dari Kelantan. Tapi berdarah Pama dan Pakhoy Thai. Umur baru 10 bulan. Berat dalam sekitar 3.2 kg. Tok Ayah minat juga bulu jalak ni. Tengah cari-cari jugok kalau ada baka Pama yang lebih mengancam dengan bulu jalak macam ni. Bulu jalak dikatakan asal dari baka darah Burma asli dan ada juga dari darah asil. Masa dulu-dulu Tok Ayah rasa bulu jalak ni payah juga nak jumpa. Tapi lor ni nampaknya banyak bulu macam ni di pasaran dan arena ayam sabung.

Rabu, 8 Mei 2013

Hukum Menjual Beli, Menyabung dan Memelihara Ayam Sabung Dalam Islam.

Sahabat-Sahabat para peminat ayam sabung yang amat Tok Ayah kasihi sekalian. Tok ayah sekadar mampu memanjangkan pesan...

Untuk renungan kita bersama. Demi kebaikan kita di dunia, lebih-lebih lagilah untuk akhirat kita. Marilah kita suburkan minat, hobi dan kesukaan kita kepada amal atau perbuatan yang boleh membantu kita menjana keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Jangan biarkan hati-hati kita seronok dengan perbuatan yang ditegah oleh Allah.


1. Pandangan Ustaz Azhar Idrus


Ayah saya jual ayam laga(sabung), boleh ke?

UAI : Hok laga (yang tukang sabung) ayam haram. yang jual ayam tidak haram. Sebab ada yang beli sebab apa? Sebab comel(cantik). dan untuk pertandingan comel(cantik) tidak tidak mengapa. Kalau untuk laga(sabung) ayam, haram.

Tapi kalau sudah tahu memang yang hendak beli ayam itu bapok lage (ketua kaki sabung) ayam yang beli, jadi haram jual.

(www.jomkenalislam.my)



(www.jomkenalislam.my)



Pengarang

Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid

Rujukan

Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Nota

Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

Soalan:
Mohon kiranya mendapat jawapan daripada Pehin mengenai dengan perbuatan bersabung ayam. Akhir-akhir ini telah banyak mendapati aktiviti-aktiviti seperti ini berleluasa bahkan melibatkan orang Islam sendiri. Dengan adanya jawapan yang disandarkan daripada Pehin mengenainya, dapatlah serba sedikit membantu menyedarkan mereka ini.

Jawapan:

Menyabung, bersabung atau melaga-Iagakan binatang sesama binatang seperti bersabung ayam atau menyabung kerbau atau lembu adalah perbuatan menganiaya atau menyeksa binatang-binatang itu. Menganiaya atau menyeksa binatang hukumnya haram, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menyeksa binatang.

Menyabung atau bersabung binatang itu mendedahkannya kepada bahaya, penyeksaan dan tiada belas kasihan ke atas binatang itu bahkan boleh menyebabkan kematian. Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Nabi sendiri diutus untuk membawa rahmat itu sebagaimana rman Allah:

Tafsirnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalan alam.
(Surah al-Anbiya’ : 107)

Antara hadits-hadits yang membincangkan tentang sifat belas kasihan dan rahmat itu ialah sabda Rasulullah Shallallah ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Umar Ra 'anhuma:

Maksudnya: Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit.
(Hadits riwayat at- Tirmidzi dan Abu Daud)

Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu meriwayatkan bahawa RasuI Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa tidak bersifat rahmat (belas kasihan), maka tidaklah diberi rahmat kepadanya.
(Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at- Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

Sesiapa yang menunjukkan belas kasihan atau bersifat rahma sekalipun kepada binatang bukan saja Allah bersyukur kepadany bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu (alaihi wasallam dalam suatu peristiwa:

Maksudnya: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaanku, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan air), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta (ala menerima dan memuji di atas budi dan ihsannya itu . dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: ((Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu diberi pahala. "
(Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ahmad dan Malik)

Diebaliknya melakukan penganiayaan dan penyeksaan terhadap binatang menyebabkan seseorang masuk neraka sebagaimana diceritakan dalam suatu peristiwa:

Maksudnya: Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu masuklah perempuan itu dalam api neraka.
(Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan ad-darimi)

AI-Imam Ibnu Hajar seorang ulama mazhab asy-Syafi'e' terkenal itu dalam kitabnya az-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba’ir mengkategorikan menyeksa, melaga-lagakan dan menyabungkan binatang sebagai dosa besar. Ini bererti perbuatan itu adalah AI-Imam itu membawakan dalil-dalilnya, antaranya hadits¬-hadits di atas.

Antara bentuk-bentuk penyeksaan itu ialah memisahkan anak burung daripada ibunya sebagaimana Abdullah Ibn Mas'ud Radhial 'anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya: Adalah kami (kata ayahanda Abdullah) bersama-sam Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengebas¬ngebas kepaknya. Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pun datang dengan bersabda: "Siapa yang menyakiti (menyusahkan) ibu burung ini (memisahkan) daripada anak-anaknya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya. "
(Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Pendeknya menyabung, bersabung atau meIaga-Iagakan binatang adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melarang perbuatan sedemikian. Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam melarang melaga-lagakan binatang-binatang.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Termasuk dalam kategori menyeksa binatang itu ialah menanggungkan ke atasnya dengan barang-barang bebanan di luar keupayaan binatang itu. Pada Hari Kiamat nanti tuan punya binatang itu akan dikenakan qishah sejauh mana kezaliman yang dilakukannya terhadap binatang tunggangannya itu.

Hatta binatang-binatang yang harus ibunuh sekalipun, tidak boleh diseksa sebelum ianya dibunuh. Bahkan membunuhnya pun mestilah dengan ihsan.


SOALAN: Saya seorang peminat ayam serama, segala jenis burung dan haiwan perhiasan. Saya membiak dan menjualnya kepada peminat-peminatnya. Di sini saya ingin kemukakan dua soalan berikut:

1. Bolehkah saya pelihara burung dan mengurungnya dalam sangkar dengan diberi makan minum dan kawalan keselamatannya yang cukup?

2. Bolehkah saya menjual burung-burung perhiasan, ayam serama dan ayam laga yang saya biakkan itu pada harga yang agak tinggi, iaitu bergantung pada kecantikan yang disukai peminatnya? Apa hukum perusahaan ini dari perspektif Islam? - ISMAIL, Kota Bharu.

JAWAPAN: Sebelum saya memberi maklum balas berhubung soalan di atas, sama ada harus atau tidak harus memelihara ayam serama, burung hiasan dan sebagainya, izinkan saya menyediakan suatu mukadimah yang menerangkan kedudukan di bumi ini terlebih dahulu, dengan menumpukan sedikit perhatian kepada Adam alaihissalam sebagai insan pertama dan bapa kepada semua manusia.

Insan adalah makhluk Allah yang istimewa, ia dimuliakan dalam suatu majlis tiupan roh yang dijemput hadir para malaikat dan iblis, lalu mereka semua diperintah Allah supaya sujud kepada makhluk ini. Semua sujud, kecuali iblis yang takbur dengan kejadian sendiri.

Penciptaan insan yang diperintah sujud kepadanya itu berbeza sekali dengan penciptaan malaikat dan iblis, kerana penciptaan makhluk ini adalah gabungan antara tiga komponen utama, iaitu roh, badan kasar dan badan halus. Setiap satu daripadanya mempunyai kehendak dan keperluan sendiri yang wajid dipenuhi.

Badan kasar mempunyai keperluannya sendiri, ia perlukan makan, minum, pakai, berkemahuan seks dan sebagainya. Roh juga ada keperluannya yang terdiri daripada ibadat, amal dan aktiviti-aktiviti kerohanian. Islam mewajibkan umatnya supaya melayani semua keperluan ini dengan adil. Sehubungan makan minum, Allah berfirman yang bermaksud: Makan dan minumlah kamu dan jangan pula kamu melampau-lampau. (al-A'raf: 31).

Melayani keperluan roh juga hendaklah dengan sederhana, tanpa berlebihan. Baginda rasulullah s.a.w. pernah mendengar berita Abdullah ibn Umar yang keterlaluan dalam ibadatnya, lalu menasihati beliau supaya tidak keterlaluan, iaitu melalui sabdanya yang bermaksud: Wahai Abdullah! Bersederhanalah, kerana jasad kamu juga mempunyai hak, mata kamu juga mempunyai hak, isteri kamu juga mempunyai hak. Layanilah hak masing-masing (Jami'al-Usul, 1/297 bilangan 87).

Jika roh dan badan kasar mempunyai hak yang wajib dilayani dengan adil. Bagaimana pula dengan keperluan badan halus atau yang disebutkan dengan istilah falsafah dengan al-nafs al-insaniyyah (jiwa manusia) yang memerlukan kepuasan pada semua perkara, sama ada yang dilihat, disentuh, dirasa, didengar dan difikir.

Menikmati keindahan pada semua perkara merupakan makanan yang diperlui badan halus atau jiwa manusia. Badan ini tidak akan mencapai tahap kebahagiaannya dengan sempurna tanpa persekitaran yang bersih, indah dan menyegarkan. Jiwa yang hidup dalam suasana yang menakutkan, persekitaran yang ngeri dan bising, akan melahirkan manusia yang keras hati dan bertabiat besar. Memang jiwa yang bersih, cintakan kata-kata yang sopan ketika berbicara, pemandangan yang indah ketika bergerak dan tindak-tanduk yang lemah lembut ketika bekerja.

Berpandukan mukadimah ini, saya berpendapat, ayam serama dan burung-burung hiasan yang saudara bela dan niaga itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam, kerana ajaran ini tidak menentang perhiasan yang dinikmati oleh jiwa. Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad! Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya (al-A'raf: 32).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8). Ayat ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan haiwan, tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia, maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada penggunaan yang salah dan sebagainya.

Memang penggunaan perhiasan ini berada pada peringkat thasiniyyat (mewah). Barang-barang mewah hanya boleh dipakai apabila sempurna keperluan yang wajib dimiliki. Sebagai contoh, memiliki kediaman untuk anak-anak dan keluarga adalah wajib dan termasuk dalam kategori daruriyyat (kepentingan). Peralatan-peralatan mewah hanya boleh dimiliki setelah memperoleh kediaman dengan sempurna.

Menikmati keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.

Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki, sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.

Menyekat kebebasan burung dan ikan emas dalam sangkar tidak harus menjadi alasan pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam pasu dan bekas-bekas kecil.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan serbannya yang tidak cantik dilihat, memakai kain tebal di sebelah dalam dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang melihatnya (Jami' al-Ahkam, 7/97).

Makhul al-Dimasyqi seorang ahli Fiqh tabi'i meriwayatkan daripada Aishah r.a. katanya: Sekumpulan sahabat nabi s.a.w. menunggu baginda di pintu rumahnya, lalu baginda keluar menemui mereka. Kebetulan dalam rumah itu ada bekas berisi air, baginda melihat mukanya dalam air itu, lalu membetulkan janggut dan rambutnya. Aku bertanya: Wahai rasulullah! Kamu juga berbuat begitu. Jawab baginda: Ya, apabila seseorang keluar kerana berjumpa saudaranya, maka kemaskan dirinya, kerana Allah indah, Ia sukakan keindahan. Dalam Sahih Muslim, daripada Ibn Mas'ud r.a. nabi s.a.w bersabda: Tidak masuk syurga orang yang ada takbur dalam hatinya seberat zarah. Berkata seorang lelaki: Sesungguhnya orang lelaki suka kainnya cantik, kasutnya cantik dan semuanya cantik. Sabda nabi s.a.w.: Memang, Allah itu cantik, ia sukakan kecantikan. Besar diri yang sebenarnya ialah melawan kebenaran dan melupakan kebaikan manusia lain.

Berpandukan mukadimah ini, kita dapat menarik kesimpulan, iaitu Islam tidak menentang sebarang perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara perhiasan termasuklah ayam serama, burung pipit dan ikan emas yang dibela untuk hiasan rumah. Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syarat berikut:

1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu bergantung kepada niat.

2. Jangan lekakan tanggungjawab disebabkan oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.

3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.

Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibn Malik r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh Abu Umair ke mana perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam peliharaannya.

Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana sembelih untuk dimakan sahaja.

Ibn Aqil al-Hanbali melarang menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan terhadapnya. Beliau mengambil dalilnya daripada hadis Abu al-Dard' r.a. yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu membuat aduan kepada Allah, kerana manusia menyeksanya semasa di dunia dahulu.

Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan minum. Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang cukup, nescaya harus dibelanya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan keselamatannya. Demikian juga dengan ikan emas dan lain-lain haiwan yang dibela dalam tempat yang terbatas jarak keluasannya, kira-kira tidak seluas sungai dan laut.

Adapun ayam laga, jika dibela untuk tujuan perhiasan maka tidak menjadi apa-apa halangan, namun jika diternak bagi tujuan judi dan bersabung, maka ini adalah suatu penyeksaan yang sangat besar dosanya.

Sama juga hukumnya dengan haram minum arak, sebarang usaha membantu peminum arak adalah dosa. Wallah a'lam.

Ayam Sabung : baka mano?

Pada dasarnya, tok ayah amat berminat dengan baka Leung Hang Khau dan Pradu Hang Dam, baka ayam sabung yang cukup terkenal di Thailand. Baka ini memikat hati tok ayah kerana ketrampilan warna bulu yang unik dan tubuhnya yang tinggi dan sasa mendada. Kedua-dua baka ini sebenarnya dikenali berdasarkan warna bulu dan bentuk tubuh. Leung Hang Khau bermaksud kuning ekor putih. Warna based baka ini lazimnya hitam atau biru gelap atau hijau gelap, dengan warna kuning pada bulu tengkuk, bulu rambai dan bulu sulam sayap. Selain itu bulu putih dominasi ekornya, beberapa helai bulu sayap serta tompok-tompok uban pada kepala dan bahu.


(foto hiasan : ayam bukan milik saya)

Manakala baka Pradu Hang Dam pula memiliki bulu based warna hitam atau hijau gelap. Warna bulu tengkuk dan bulu rambai adakalanya berwarna merah pekat atau hijau api. Kadang-kadang tumbuh juga bulu rambai kuning emas pada bahagian belakang tubuh. Ayam ini bertubuh lebih besar jika matang, berbanding Leung Hang Khau.


(foto hiasan : ayam bukan milik saya)

Baka asal Leung Hang Khau dan Pradu Hang Dam tetap dipulihara dengan baik oleh pihak bertanggungjawab dan para peminat baka ini di Thailand. Pusat pemuliharaan baka ini berada di Pitnasuluk, Thailand. Tenaga pakar dalam vetinari dan warisan Thailand turut terlibat dalam projek pemuliharaan dan pembiakan yang mendapat penghargaan banyak pihak ini. Usaha pembiakan ini juga digerakkan oleh para peminat ayam sabung, khususnya di Thailand.
Ayam baka ini menjadi warisan sejarah Thailand yang terkenal. Baka Leung Hang Khau diriwayatkan adalah baka yang ditemukan oleh Raja Thai yang terkenal iaitu Raja Nareesuan, yang berpusat di Ayyuthaya. Ayam baka ini melonjak namanya apabila Raja Nareesuan menjadikan ayam sabungnya untuk bertarung dengan ayam sabung Raja Burma pada masa itu. Leung Hang Khau telah Berjaya mengalahkan ayam sabung Raja Burma. Leung Hang Khau merupakan lambang keutuhan dan maruah kerajaan beraja Thai pada masa itu.
Manakala baka Pradu Hang Dam ialah baka yang diperkenalkan oleh adik Raja Nareesuan iaitu Raja Ekatotsarut yang mewarisi kerajaan Ayyuthaya. Tidak hairanlah kalau kedua-dua baka itu mendapat tempat yang amat istimewa di hati para peminat ayam sabung di Thailand.
Dari baka yang terkenal inilah berkembang biak baka-baka lain yang kerap dikenali dengan gelaran berasaskan warna bulu. Menurut Jabatan Veterinar Thailand, terdapat 12 baka native chickens di Thailand. Namun lazimnya ayam dari baka asal LHK atau PHD ini memiliki susuk tubuh yang secara asasnya adalah sama. Struktur tubuh adalah tinggi, tulang kasa, tubuh panjang dan bulu ekor yang menarik.
Pada hari ini, inovasi yang pantas dan tanpa sempadan atau had peraturan telah diterokai oleh para peminat sabung ayam. Berbagai kacukan silang dari berbagai baka telah dibuat. Tidak ketinggalan baka LHK dan PHD itu juga menjadi medan kacukan silang yang ganas. Justeru itu, sukar untuk kita dapatkan baka yang benar-benar genuine atau asli di pasaran terbuka ayam sabung. Kad pengenalan ayam yang dikeluarkan di sesetengah tempat di Thailand pun tidak terlepas dari pemalsuan bloodline.
Kacukan silang ini amat ketara di kalangan mereka yang gila menyabung ayam. Dalam usaha untuk mencari kombinasi terbaik teknik berlaga yang diimpikan oleh para pelaga ayam, maka mereka tanpa disekat oleh sebarang undang-undang atau kod etika, telah menguji berbagai kacukan silang.
Ayam Burma, Pakistan, Brazil, Thailand, Shamo, Saigon, Sumatera, Filipina dan lain-lain lagi dikacuk antara satu sama lain mengikut citarasa empunya ayam itu sendiri. Ayam dengan 3 darah atau 4 darah pun berlambak di arena sabungan ayam. Pengesahan bukannya berdasarkan rekod sah tentang bloodline ayam, tapi hanya bergantung kepada pernyataan empunya ayam atau berdasarkan tilikan atau pemerhatian para otai yang kononnya dinobat sebagai pakar mengenal baka ayam sabung.
Mengenalpasti baka sebenar ayam rasanya menjadi sukar pada masa ini. Kecuali bagi mereka yang benar-benar tahu serta jujur dalam menjaga bloodline baka masing-masing. Namun bagi kaki penyabung ayam, soal asli ke tidak sesuatu baka itu bukan persoalan priority. Yang penting ayamnya itu mampu menunjukkan kehebatan teknik bertarung di bon dan mampu mengalahkan lawan.

Selasa, 7 Mei 2013

Abe Long Nakhorn






Abe Long ini adalah baka pama. barangkali ada sikit darah saigon kalau tenguk pada kerangka tubuh. Asal dari Nakhorn Si Tamarrat, Thailand. Pada tarikh ini ia berumur 11 bulan dengan berat 3.2 kg. Bulu belum betul-betul menuh lagi.