Jumaat, 27 September 2013

Anak-Anak Tok Awe (2)

Anak-anak Tok Awe dengan induk Pama-Ganu. Umur dekat 2 bulan.








Anak-Anak Tok Awe (1)

Antara anak-anak Tok Awe dengan induk Pama-Brazil asal Thai. Umur 2 bulan lebih.





Ahad, 15 September 2013

Anak-Anak Tok Pa

Sebahagian dari anak-anak jantan Tok Pa dengan Induk Ori Thai. Induk asal Thailand  [bapak induk darah Leung Hang Khao dengan ada rekod menang] Umur 3 bulan 10 hari. Jantan 6 ekor betina sekor.







Ahad, 23 Jun 2013

Tok Awe



Tok Awe
Ayam ini Tok Ayah namakan dia Tok Awe (kena sebut ikut loghat Kelantan tu). Ambik sempena nama ayam sabung pertama yang Tok Ayah miliki masa berumur 12 tahun dulu.



Nak riwayatkan sikit hikayat ayam sabung Tok Ayah yang pertama dulu. Ayam itu mak Tok Ayah bagi dia nama Awe ketar (ketar maknanya mengigil). Dinamakan Awe Ketar kerana ayam ini masa Tok Ayah mula-mula bawa balik ke rumah dia tak berapa boleh berdiri kerana lututnya terketar-ketar. Sebenarnya ayam sabung ini dihadiahkan oleh seorang jiran sekampung Tok Ayah, namanya Pok Pa. Dia memang kaki berlaga ayam yang tegar. Awe ketar sebenarnya adalah antara puluhan jaguh yang Pok Pa bela. Ayam itu diberinya pada Tok Ayah kerana ia kalah berlaga di Bon Nangko, Golok. Masa Pok Pa bawa balik ayam itu dalam nyawa-nyawa ikan. Barangkali kecewa dengan prestasi jaguhnya itu maka Pok Pa beri pada Tok Ayah. Padahal Pok Pa ni dalam bab ayam sabung memang terkenal kedekut pahit. Tobat dia tak akan bagi ayam jaguh dia pada orang lain.
Jaguh yang tewas itu Tok Ayah bawa balik. Berbulan Tok Ayah merawat ayam ini. Kerana kesian pada Awe Ketar dan tuan barunya yang bertungkus lumus merawat, otai-otai kat kampong tak jemu-jemu bagi berbagai petua untuk sembuhkan Awe Ketar. Ada yang suruh bagi makan siput sedut, telor gondang, anak belut, ulat sagu, madu tualang, kena tuku/demoh macam orang baru bersalin dan macam-macam lagi la. Semua Tok Ayah buat.
Ending hikayat ini amat menerujakan. Awe ketar akhirnya tampil dengan wajah dan sosok baru yang lebih mengancam. Ia menjadi jaguh yang amat jinak dan macho. Manja benar dengan Tok Ayah, maklumlah siang malam dok jamah dio. Lama dia menjadi penghulu kat rumah. Beberapa tahun kemudian dia pergi untuk selama-lamanya. Mak kata dia mati dihanyutkan banjir. Masa tu Tok Ayah duk belajar di sekolah asrama.
Bila tenguk Tok Awe, Tok Ayah teringat pada Awe Ketar.





Diriwayatkan oleh otai pemilik asal ayam ini, Tok Awe adalah baka Leung Hang Khau. Cuma darah dia ada bercampur sikit dengan Saigon. Tok Ayah berminat ambil Tok Awe jadi pembaka kerana base bloodline dia adalah Leung Hang Khau. Campur sikit darah Saigon menampilkan struktur tubuh yang lebih kemah dan mantap. Lagi pun kata otai itu, Tok Awe telah 2 kali memenangi laga besar di Thailand. Betul ke tidak Tok Ayah pun tak tahu. Itu pada Tok Ayah adalah nilai tambah, yang penting hati dah berkenan dengan baka dan tubuh yang mantap. Ayam-ayam cantik atau beauty chicken kat Thai ni pun banyak yang asalnya jaguh di bon. Lepas menang berlaga baru dia orang jaga balik untuk jadi ayam kategori cantik pulok. Ada dua kelebihan ayam itu, hebat berlaga dan cantik. Ingat! Jangan berlago… berdosa weh.
(Umur 17 bulan. Berat 3.8 kg. Asal dari Pithsanuluk, Thailand)

Sabtu, 22 Jun 2013

Generasi Pewaris



Persekitaran rumah dan reban Tok Ayah memang banyak pemangsa anak-anak ayam. Biawak, monyet, musang pisang, tikus tanah dan semut gatal memang agak berleluasa. Susah nak kawal pemangsa-pemangsa ini. Jadi kerana itu, boleh dikatakan semua anak-anak ayam yang baru menetas tok ayah akan pisahkan dari ibu masing-masing. Anak-anak ayam ini akan ditempatkan dalam reban khas untuk pembesaran mereka. Kaedah seperti ini nampaknya berkesan untuk menjamin keselamatan pembesaran anak-anak ayam di reban. Kalau biarkan ibu atau induknya sendiri yang bawa, kerapkali si induk akan bawa turun anak tujuh lapan ekor anak, namun tak sampai dua minggu kadang-kadang dah tinggal dua atau tiga ekor sahaja. Yang selebihnya hilang entah kemana. Tentunya penangan si pemangsa yang disebutkan tadi.
Dari segi pemakanan untuk anak-anak ayam pula Tok Ayah lebih meyediakan dedak broiler jenama gold coin. Dari segi kualiti dan komposisi nutrient yang seimbang untuk pembesaran dan pertumbuhan anak-anak ayam, jenama ini memang antara yang terbaik. Dedak ini akan menjadi hidangan anak-anak ayam hinggalah usia mereka melepasi 3 bulan. Selepas itu Tok Ayah akan gilirkan antara dedak kasar, juga dari jenama gold coin, dengan makanan yang lain seperti padi, jagung dan sebagainya. Dedak gold coin ini sebenarnya kaya dengan protein dan terdapat peratus kalsium walaupun sedikit sahaja. Ia sesuai untuk peringkat umur anak ayam di bawah 3 atau 4 bulan. Tapi untuk seterusnya kelebihan protein boleh menjejaskan kesihatan ayam, khususnya untuk proses peneluran oleh ayam betina atau penghasilan benih baka oleh ayam jantan. Ayam boleh jadi terlebih gemuk, obbesiti, dengan banyak lemak berkumpul dalam tubuh. Ayam akan kelihatan lembik, tidak cergas, atau kocher, kata orang Kelantan. Penampilan segak gaya sabung tak menonjol.
Rerumput atau sayuran daun hijau wajar juga diberikan sekali sekala kepada anak-anak ayam untuk bekalan vitamin. Ikan bilis dan udang kering yang dikisar membekalkan calcium yang amat baik untuk pertumbuhan tulang dan bulu yang cantik. Kulit telur, kulit kerang dan pasir laut juga baik untuk penambahan calcium pembesaran ayam.





Di rumah Tok Ayah pula ada tiga empat ekor kucing Bengal. Kadang-kadang kalau kucing baka hutan ni lepas dari kurungan, memang di makannya hidup-hidup anak ayam tu. Nok buat lagu mano, hok kito pero belako.



Selasa, 28 Mei 2013

Ayam Sabung : Tok Pa

Tok Pa bertitih barih dari baka Pradu Hang Dum. Tapi mengikut riwayat silsilahnya, Tok Pa juga ada darah Saigon. Ayam ini berasal dari Chiang Mai, Thailand. Mengikut riwayat, Tok Pa pernah menang 5 kali dalam perlawanan besar di beberapa bon terkenal di utara Thailand. Kononnya ada sijil pengesahan, tapi Tok Ayah pun sepatah haram tak faham dia orang tulis dalam Thai.

Tapi Tok Pa memang memikat hati Tok Ayah. Dia tinggi dengan kaki yang kuat dan panjang. Leher juga tegap dan jinjang. Tubuh kemah dan mendada. Tulang kasa dan kelihatan kukuh. Ekor agak lebat dan panjang. Bulu pula berwarna hitam coklat gelap (walnut) kemerah-merahan (payah nak diungkapkan la) yang menjadi based color Pradu Hang Dum agak menyerlah. Elemen hijau api pun ada. Ada juga sedikit bulu rambai warna kuning emas di bahagian belakang. Bulunya gelap berkilat. Kata sesetengah otai, penampilan warna bulunya adalah selari dengan warna asal baka Pradu Hang Dum. Ianya dikatakan lebih lengkap berbanding warna sitam atau hijau api sebahagian baka Pradu Hang Dum yang popular di Thailand sekarang ini.

Tok Pa memang sihat dan ceria. Dia juga ada pasangan yang tidak kurang hebatnya. Cuma Tok Pa adakalanya kelihatan seperti sakit pada lutut dan kepala bahu. Ayam yang asalnya disabungkan memang ada kesan pada tubuh badan mereka. barangkali sewaktu Tok Pa sering diturunkan ke bon dia diberi steriod secara sembrono yang menyebabkan tubuhnya menerima impak setelah diselamatkan dari bon. Tidak mustahil juga mungkin hentaman dari lawan-lawannya meninggalkan kesan pada tubuhnya. Namun begitu, alhamdulillah, Tok Pa masih mampu melayani fitrah berpasangan dan telah menghasilkan zuriat dengan baik. Tok Ayah terpaksa memberinya makan ubat sakit lutut atau turun urat jika sekali sekala Tok Pa kelihatan sakit. Adakala Tok Ayah sapu minyak panas dan balut kakinya.

Besar benar harapan Tok Ayah agar jaguh hebat Chiang Mai ini akan menghasilkan zuriat ayam-ayam cantik yang berkualiti tinggi dari keturunan Pradu Hang Dum yang mashyur itu. Insya Allah.
(umur 17 bulan, berat 3.9 kg)